Wednesday, June 8, 2011

Layakkah Kita Bergelar "Malaikat?"

Saya menerima Majalah Mastika yang saya langgan setiap bulan seperti biasa bulan Mei yang lalu. Dengan penuh keterujaan, saya membelek lantas membaca rencana yang terdapat di dalam majalah itu. Saya merupakan salah seorang daripada jutaan peminat majalah tersebut dan membacanya adalah wajib untuk saya setiap bulan. Saya melihat satu tajuk menarik - "Siapa Malaikat Itu?" dan tanpa berlengah, saya terus membaca artikel tersebut hingga noktah terakhir. Di akhir artikel, saya tersentak dan merasa hiba hingga melahirkan air mata tanpa suara. Indahnya artikel ini. Siapa yang menulisnya ya? Tiada nama. Ia sememangnya memberi kesan pada saya. Apabila saya belek-belek artikel lain, barulah saya perasan yang tema bulan tersebut adalah Hari Ibu, jadi artikelnya lebih bersifat keibuan, pengorbanan, tanggungjawab dan perjuangan seorang ibu. Terlalu ghairah membaca sampai saya tidak menyedari tema Hari Ibu itu . :(  

Saya berniat untuk berkongsi dengan anda semua artikel ini, walaupun saya harus menaip kembali setiap patah kata yang ditulis wartawan tidak bernama itu, saya sanggup kerana artikel tersebut sungguh menyentuh perasaan keibuan saya. Sibuk dengan tugasan harian, saya terlupa ingin menaipnya kembali dan niat itu terkubur seketika. Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita bayi baru lahir yang dicampak dari tingkat 5 sebuah pangsapuri hingga kepalanya bersepai dan kakinya hampir putus menyebabkan saya teringat kembali artikel yang pernah saya baca itu. Melihat gambar bayi tersebut yang di tag rakan di laman FB serta membaca berita tentangnya di Utusan Online menyebabkan saya rasa sungguh sedih dan sebak. Layakkan kita bergelar "Malaikat Itu?" Layakkah kita? Ya Allah, kau ampunkanlah hambaMu yang sanggup membuang bayi itu. Bersangka baik adalah yang perkara yang paling positif boleh kita lakukan sekarang- selagi mahkamah belum menentukan siapa yang bersalah dan mengapa tersebut boleh berlaku. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana seorang manusia tidak kira lelaki atau perempuan, ibu atau bapa, remaja atau kanak-kanak yang sudah akil baligh, yang dikurniakan akal sempurna sanggup memegang bayi yang masih bernyawa tersebut dengan niat mencampakkannya dari tingkat yang tinggi supaya bayi itu mati serta merta. Sudah pasti ada yang tidak kena dengan akalnya mungkin.

Balik ke rumah dari pejabat, secara kebetulan, saya mencapai majalah Mastika yang ada di atas meja solek dan membacanya kembali. Sekali lagi saya melihat artikel tersebut dan kemudian membacanya buat kali kedua. Masih lagi air mata saya mengalir, apatah lagi ketika itu 2 cinta hati saya berada di atas katil sedang bersenang-senang melihat DVD Baby Sign di kaca TV. Terus saya mengambil keputusan untuk menaip artikel tersebut dengan serta merta dan berkongsi dengan anda semua. Para ibu yang membaca blog ini, kita sememangnya dipilih Allah SWT untuk menjaga amanahnya tidak kira bagaimana keadaan anak kita itu. Layak kah kita digelar Malaikat? Sungguh saya rasa gelaran itu terlalu tinggi buat saya, insan yang tidak pernah sempurna ini. :( Selagi saya bernyawa, saya akan berusaha sebaik mungkin memikul dan memegang amanah ini, Insya Allah. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan ketabahan buat kita semua melakukan yang terbaik. Sama-samalah kita berdoa. Amin ..

***************************************************************
Suatu hari, seorang bayi menerima perintah daripada PenciptaNya: "Sebentar lagi, engkau akan bersiap sedia untuk diturunkan ke dunia." Sesungguhnya bayi itu berasa amat takut, gusar memikirkan akan dilahirkan ke dunia yang tidak pernah dilihatnya. Lalu bayi itu bertanya kepada Tuhannya: "Selama ini, ada malaikat yang menjagaku. Dan para malaikat ini memberitahu aku akan dikirimkan ke dunia. Tetapi, bagaimana akan hidup di dunia itu dengan tubuhku yang kecil dan lemah ini?" 

Lalu Tuhannya menjawab, "Jangan takut. Sesungguhnya Aku telah memilih seorang malaikat untuk menjaga dan mengasihimu di dunia itu nanti." Akibat masih takut, bayi itu bertanya lagi, "Dunia itu sudah tentu berbeza. Jika di dalam syurga ini, aku hanya perlu bermain, bernyanyi dan ketawa membuatkanku terasa bahagia. Bagaimana di dunia itu nanti?" 

Lalu Tuhannya menjawab, "Jangan takut, malaikat yang kupilih itu akan menyanyikan lagu untukmu, menghadiahkanmu dengan senyuman dan kasihnya membuatkan engkau berasa hangat dan dicintai!" Bayi itu masih belum berpuas hati lalu bertanya lagi, "Aku tidak makan memahami bahasa mereka dan mereka juga tidak akan memahami apa yang aku bicarakan. Bagaimana aku boleh hidup dengan mereka?" 

Lalu Tuhannya menjawab, "Malaikat yang ku pilih itu makan berbicara padamu dengan bahasa yang paling indah, paling lembut dan dipenuhi kesabaran dan perhatian. Dengan ketulusan, dia akan mengajarmu berbicara." Bayi itu bertanya lagi : "Dan bagaimana caranya perlu aku lakukan jika ingin berbicara denganMu kelak?" 

Lalu Tuhannya menjawab, "Malaikatmu itu akan mengajarmu bagaimana caranya nanti!" Bayi itu masih terus bertanya : "Aku dengar di dunia itu ramai orang jahat. Jadi siapa yang akan melindungiku nanti?" 

Lalu Tuhannya menjawab, "Malaikatmu itu akan melindungimu dengan segenap jiwa raganya sekalipun perlu mengorbankan dirinya!" Dengan sedih, bayi itu bertanya lagi, "Aku akan berasa sedih kerana kerana tidak dapat bersamaMu lagi!" 

Lalu Tuhannya menjawab: "Usah gusar. Malaikatmu itu akan menceritakan tentangKu padamu. Malaikat itu akan mengajar engkau bagaimana engkau akan kembali kepadaKu bila sampai waktunya nanti. Sesungguhnya aku sentiasa berada disisimu!" 

Dan sebelum diturunkan ke dunia, bayi itu bertanyakan soalan terakhir, "Jika sudah terpaksa aku pergi ke dunia itu, bolehkah aku tahu siapakah nama Malaikat yang engkau maksudkan itu?" Lalu Tuhannya menjawab: "Ibu! Ibu yang melahirkan engkau!"

C.I.N.T.A  &  A.M.A.N.A.H



post signature
post signature

No comments:

We're Meant To Be Together..

My Baby Can Read!

early reading