Monday, May 11, 2009

Mother's Day 09- Nukilan Buat Ibuku




Wanita Sanjungan Hatiku - Selamanya..


Mak Tersayang,

Hari Ibu datang lagi, sama seperti tahun-tahun yang lepas. Tetapi setiap tahun Hari Ibu semakin istimewa bagi diri Watie. Semakin Watie meningkat dewasa, semakin Watie mengerti betapa sukarnya menjadi seorang Ibu yang baik, Ibu yang sempurna serba serbi & isteri yang pengasih & penyayang pada waktu yang sama.



Hadiah Khas Buat Ibuku, ikatan penuh kasih sayang..

Kini, selepas Watie sendiri bergelar Ibu, Watie semakin mengagumi Mak. Ketabahan Mak membesarkan kami adik beradik dalam suasana & persekitaran yang sederhana serba serbi 29 tahun lepas cukup mengagumkan Watie. Masih jelas di ingatan Watie, kita sekeluarga bukan orang kaya. Duduk menumpang di rumah ala kampung Atuk & Nenek sehingga Watie berusia 22 tahun. Bilik cuma ada 2. Satu untuk Mak, satu untuk Along & Angah. Watie dan 4 lagi adik beradik tidur dimana-mana sahaja tempat kosong yang kami nampak. Depan TV, atas kerusi, malah di ruangan jalan menuju ke dapur pun Watie masih boleh melelapkan mata sementara menunggu hari esok untuk ke sekolah. Kini, bila Watie menoleh kembali mengingati sejarah lama, Watie tidak pasti bagaimana kami 7 beradik boleh tinggal dirumah tersebut dengan penuh keselesaan & kebahagiaan satu ketika dulu. Itulah kuasa Tuhan kan Mak. Hidup menumpang, semua serba sederhana, makan ala kadar tapi kita tetap bahagia, kita tetap senang hati,,,


Hadiah yang tidak seberapa untuk Mak, tapi mampu membuatku Ibuku tersenyum gembira.

Tapi dalam keadaan serba kekurangan itu jugalah Watie belajar bersungguh-sungguh dan menjadi salah seorang pelajar cemerlang. Sedikit pun tidak Watie gunakan alasan "rumah kecil" dan "tidak selesa" untuk Watie melepak tidak tentu hala atau mencari ketenangan di "luar" dengan bercampur gaul dengan orang yang tidak senonoh kelakuannya. Alhamdulillah...Watie percaya, ia berkat doa mak yang tidak putus-putus untuk anak-anaknya...


Kad istimewa untuk Mak di Hari Ibu 2009

Umpat keji saudara mara terhadap kita sekeluarga bukannya sikit. Dari kita duduk di rumah "bersejarah" itu hinggalah kita pindah ke rumah baru malah hingga kini, ada sahaja suara-suara sumbang kedengaran. Watie tidak akan lupakan ayat-ayat yang mereka lemparkan. Rumah subsidi, tak bayar sewa, duduk free jer ke?, anak Aziz dah kaya, dulu bapak ko susah siapa yang tolong dan macam-macam lagi cacian yang kita terima, tetapi ia membuatkan kita sekeluarga makin rapat dan langsung tidak goyah dengan kata-kata seperti itu. Ianya ibarat bunyi nyamuk-nyamuk yang sibuk berkeliaran ingin mengigit mangsa tetapi tidak berjaya kerana kita sekeluarga telah menggunakan "insect repellent" yang diberi nama "KASIH SAYANG SEJATI". Tidak terkena langsung gigitannya...


Inside the card, nukilan rasa hati

Walaupun dibesarkan dalam persekitaran yang sangat sederhana, kasih sayang yang Mak limpahkan pada kami adik beradik sedalam lautan yang luas menyebabkan kesemua anak-anak Mak sedar siapa diri mereka dan berusaha bersungguh-sungguh untuk keluar dari kepompong kemiskinan. Dengan doa restu mak & abah dan usaha tanpa mengenal jemu, kami semua berjaya dalam hidup. Alhamdullillah, kehidupan lampau yang kita alami dulu telah kita tinggalkan sedikit demi sedikit dan rezeki yang Tuhan bagi pada kita sekeluarga tidak membuatkan kami lupa daratan malah ia membuatkan hubungan kekeluargaan kita makin rapat lagi.


Ada lagi...berlapis-lapis tau Mak..:)

Watie rasa sangat bahagia kerana Mak dapat merasa duit hasil dari titik peluh Watie bekerja. Walaupun jumlahnya sedikit jika hendak dibandingkan dengan jasa & budi yang Mak taburkan selama ini, sekurang-kurangnya, Watie berjaya membuatkan Mak tersenyum setiap bulan.Watie bersyukur kerana masih diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk berbakti kepada Mak selagi Mak bernafas di muka bumi ini. Watie tidak akan mensia-siakan masa yang diberikan oleh Tuhan ini. Watie akan gunakannya sebaik mungkin untuk menyimpan semua kenangan kita sekeluarga dalam kotak fikiran Watie. Sesungguhnya Mak, jika Watie mempunyai kuasa luar biasa, ingin sahaja Watie biarkan Mak hidup selama-lamanya agar Watie ada tempat untuk bermanja seperti selayakkan seorang anak bermanja dengan ibunya...


Now this is my handwriting..:) Ikhlas dari hati..

Kadang-kadang Watie terfikir, adakah Watie boleh menjadi tabah & kuat seperti Mak dalam mengharungi semua cabaran yang mendatang? Mampukah Watie Mak? Ketahuilah Mak, Mak merupakan idola Watie, ketabahan Mak melalui liku-liku kehidupan menjadi inspirasi Watie. Kekuatan Mak merupakan nadi bagi Watie mengharungi suka duka alam berumah tangga & berkeluarga... Semoga Tuhan sentiasa melimpahkan rahmat buat Mak dan Watie pasti, syurga buat Mak telah tersedia di "sana"...Amin..

Mak, sempena Hari Ibu ini, ketahuilah bahawa Watie, Saiful & Qarissa amat menyanjungi dan menyayangi Mak...Tiada kata-kata yang dapat kami coretkan untuk meluahkan rasa hati ini, tiada hadiah paling mahal yg dapat kami beri kerana ia tidak akan sama dengan pengorbanan yang telah Mak lakukan buat kami. Kasih sayang kami abadi selamanya...Semoga Mak sentiasa sihat dan dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan dapat melihat kejayaan anak-anak Mak terutamanya Nana, Lia & Irfan ... Dengan doa dari Mak yang tidak putus-putus, Watie percaya mereka juga akan berjaya dalam hidup..Insya Allah ..


Selamat Hari Ibu Mak ...:)

Sayang Selamanya,

Watie, Saiful & Qarissa
10 Mei 2009



No comments:

We're Meant To Be Together..

My Baby Can Read!

early reading