Friday, May 8, 2009

Mother's Day -Erti Pengorbanan Seorang "Aku"


Semoga kebahagiaan kami berkekalan, Insya Allah

Sempena Hari Ibu yang bakal menjelang lagi 2 hari iaitu pada 10 Mei 2009 ini, aku meluangkan masa di petang Jumaat yang hening ini untuk mencoretkan sesuatu buat anakku yang tersayang, Rania Qarissa Rizal. Asal sahaja aku berfikir tentangnya, jari jemari ini begitu laju meluncur di atas papan keyboard meluahkan apa yang tersemat difikiranku dengan begitu mudah dan lancar sekali.

Aku mula mengerti apakah ertinya sebuah pengorbanan yang sejati sejak aku mula mengandungkan anakku ini. Di awal mengandungkannya, aku mengalami alahan yang agak teruk, muntah yang kerap seperti air terjun yang tidak sabar-sabar menerjah di waktu hujan lebat. Aku juga tidak berselera untuk makan nasi. Aku juga cukup malas di pejabat sedangkan itu bukan sikapku sebelum ini. Aku masih boleh bertahan kerana percaya semua ibu di dunia ini mengalami apa yang aku rasakan. Aku percaya inilah proses untuk menjadi seorang wanita yang sempurna.

Apabila Qarissa berusia 4 bulan di dalam rahimku, aku telah berpindah ke rumah baru & dalam masa yang sama, telah menerima tawaran untuk meletak jawatan oleh syarikat tempatku bekerja akibat pengecilan operasi syarikat. Aku boleh sahaja mencari kerja lain pada bila-bila masa di waktu memandangkan perutku masih lagi kecil dan aku masih boleh bekerja tetapi aku korbankan peluang yang ada kerana memikirkan kepentingan anak di dalam kandungan ku ini. Kebetulan pula, pengubahsuaian sedang dilakukan di rumah baruku. Aku sedar agak sukar untuk aku & suami mendapatkan Qarissa maka sudah pasti kandungan ini merupakan harta yang akan aku jaga lebih dari segala-galanya. Aku korbankan & menolak semua tawaran yang datang hanya untuk memastikan aku mendapat cukup rehat di rumah. Untung juga aku mempunyai perniagaan internet yang dapat menampung kehidupan seharianku seperti biasa. Aku menyangka yang aku akan mula bekerja seperti biasa selepas habis pantang, sama seperti wanita-wanita bekerjaya yang lain.

Makin hampir aku bersalin, aku makin takut & risau. Macam-macam yang aku fikirkan. Aku berbelah bahagi antara ingin meneruskan kerjaya atau menjadi suri rumah sepenuh masa dan mendidik Qarissa. Ramai kaum keluarga menyarankan aku agar menjaga Qarissa memandangkan perniagaan internet ku sudah cukup untuk menampung hidupku & ia tidak memberikan banyak perbezaan jika aku tidak makan gaji sekalipun, tetapi sebagai seorang wanita yang bekerjaya dan sudah biasa berdikari, berjalan satu Malaysia memberikan latihan & motivasi, aku rasa sayang jika bakat & kebolehanku terbenam begitu sahaja. Usiaku masih muda, baru 27 tahun ketika mengandungkan Qarissa, sudah tentu aku risau jika lama tidak bekerja, value diri ini terhadap pekerjaan profesional akan semakin berkurangan. Aku tidak tahu apa yang akan jadi pada masa akan datang, semuanya masih kabur dan aku seolah-olah terkapai-kapai mencari sesuatu yang aku sendiri tidak pasti.

Aku ingin menjadi seorang ibu yang sempurna serba serbi. Aku ingin di samping anakku sepanjang masa. Aku ingin memberikan susu badanku sepenuhnya kepada anak ku. Aku ingin meluangkan masa-masa berharga kami berdua. Aku ingin mendidiknya & bergembira bersama. Tetapi, mampukah aku berbuat demikian jika aku bekerja kembali? Kerjayaku sebelum ini banyak menuntut aku ke luar daerah memberikan ceramah & latihan. Jika Qarissa lahir, dengan siapa ingin aku tinggalkan dia? Pembantu rumah?? Atau hantar ke nursery? Mampukah aku mengepam dan membekalkan susu yang mencukupi untuknya? Jika aku sering ke luar daerah, masihkah Qarissa akan mengenalku dan berlari mendapatkan aku apabila aku pulang atau dia akan menangis ketakutan sambil memeluk pembantu rumahku kerana tidak mengenali aku ini ibunya?? Ya Allah, hanya Tuhan yang tahu betapa saratnya otakku memikirkan hal-hal ini ketika menanti saat membawa Qarissa melihat dunia ini. Aku hanya berserah kepada Allah untuk menentukan takdir hidupku selepas Qarissa lahir...Beberapa hari sebelum Qarissa lahir, aku termenung sendirian di tengah malam di atas katil ku sambil berkata pada diri ini, "Hidupku tidak akan sama lagi dalam tempoh beberapa hari akan datang .." Ia sesungguhnya memang BENAR....

Masa yang dinanti telah tiba. Anakku lahir membawa kegembiraan yang tidak terhingga kepada diri ini serta kami sekeluarga. Rasa kasihku begitu meranum terhadapnya dan ketika itu, apa sahaja aku sanggup lakukan untuk menggembirakan anakku ini. Susu badanku menjadi penyambung kasih kami berdua. Arwah Ibu mertuaku menasihati aku agar belajar untuk memberikan susu botol agar senang jika aku ingin kembali bekerja tetapi entah kenapa, aku seolah-olah sukar berbuat demikian. Qarissa juga tidak mahu menerima sebarang botol mahupun susu tepung formula. Masih aku ingat, arwah Mama menelefonku ketika aku & suami keluar sebentar ke Jusco dan Qarissa di jaga oleh arwah serta pembantu rumah. Arwah Mama meminta aku pulang cepat ke rumah kerana Qarissa menangis tidak mahukan botol susu walaupun isinya adalah susu badanku sendiri. Sejak itu, aku semakin risau tentang masa depanku terhadap bidang pekerjaan ini..

Hari berganti hari, masa berganti masa, aku telah pun selamat menghabiskan proses pantang di rumah. Aku mula menghantar resume melalui JobStreet. Yang peliknya, setiap kali aku menekan butang Send di laman web itu, hati kecilku bagaikan dicarik-carik. Aku tidak pasti apakah sebenarnya maksud perasaan itu. Takut? Gementar? Tidak yakin? Aku sendiri tidak mampu menjawabnya. Apa yang pasti, hanya Qarissa sahaja yang bermain di tubir mataku.

Sebagaimana yang dijangka, beberapa syarikat memanggil aku untuk sessi interview. Menerima sahaja panggilan syarikat-syarikat ini, hati kecilku sekali lagi bagai di cakar-cakar. Serta merta bayang-bayang Qarissa menari-nari di depan mataku. Mampukah aku meninggalkannya demi mengejar cita-citaku?? Demi Allah, sungguh tidak aku menyangka, begini rupanya azab perasaan seorang ibu yang keluar di pagi hari semata-mata untuk mencari rezeki untuk anak & keluarga. Ianya bukan mudah tetapi pengorbanan inilah yang perlu dilakukan untuk mendapatkan sejumlah wang diakhir bulan. Baru kini aku faham perasan itu. Aku seolah-olah tidak berminat untuk pergi ke sessi interview. Jika pergi sekalipun, aku menjawab soalan dengan ala kadar dan tidak bersungguh-sungguh menunjukkan kemampuan diri. Sampai satu tahap, aku bercakap dengan Qarissa, "Kalau Q bagi Mummy kerja, Q doakan Mummy boleh jawab baik-baik yer nak..?". Tapi hatiku tetap tidak tenang...Entahlah, hati & perasan ini milik Allah SWT & hanya dia yang mengetahui kenapa aku jadi begini sedangkan aku sendiri tahu yang Watie Aziz bukanlah "selemah" ini. Begitu kuat & mendalamnya kasih sayang ku terhadap Qarissa sehingga aku tidak mampu untuk membayangkan dia tiada di depan mataku untuk tempoh sekurang-kurangnya 8 jam sehari. Hebatnya kuasa cinta itu.....

Masa berlalu & Qarissa semakin besar. Aku semakin leka menjaga serta mendidiknya membuatkan aku rasa kerjaya yang aku kejar jatuh di tempat kedua. Dalam masa yang sama, sesekali hati kecilku akan teringat juga tentang istilah "makan gaji" itu. Aku terpaksa memilih antara satu. Kerjaya & Qarissa? Aku tahu sukar untuk aku mendapatkan kedua-duanya dalam masa yang sama. Akhirnya, aku memilih Qarissa. Inilah PENGORBANAN paling besar yang harus aku lakukan untuk memastikan Qarissa membesar di depan mataku. Aku tahu dan cukup sedar apabila Qarissa besar nanti & ketika itu jika aku ingin kembali bekerja, nilai diriku dalam bidang pekerjaan bukan lagi seperti sekarang. Mungkin aku terpaksa bermula dari bawah semula. Tetapi aku redha, jika inilah ketentuan hidupku yang telah ditetapkan Tuhan, aku terima seadanya. Alhamdulillah, rezeki ku masih ada dalam bidang perniagaan internet. Aku yakin Tuhan tahu isi hatiku dan Dia sentiasa memberikan aku rezeki yang cukup untuk kami sekeluarga.

Buat masa ini, aku hanya mengikut rentak tari yang sedia ada di depan mataku. Aku tidak pasti apakah yang bakal berlaku pada esok hari. Sama ada aku akan kembali bekerja atau tidak, aku tidak mampu menjawabnya. Apa yang boleh katakan, hidupku kini sangat bahagia & gembira berada disamping anakku setiap masa & ketika. Kami tidak pernah berenggang lama, melihatnya membesar di depan mata ku dan belajar perkara baru darinya setiap hari membuatkan aku rasa bersyukur dan bertuah kerana dapat melihat perubahan itu. Biarlah Allah SWT yang menentukan perjalanan hidupku. Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk hambanya. Aku telah berusaha sebaik mungkin dan jika ini takdirnya, aku REDHA...

Di hari ibu yang bakal menjelma ini, ia membangkitkan kembali nostalgia 10 bulan lalu ketika aku membawa Qarissa melihat dunia baru ini. Begitu banyak perubahan berlaku dalam hidupku dalam tempoh 10 bulan ini. Terima kasih Tuhan kerana mengurniakan anak yang sempurna kepada kami sekeluarga. Pengorbanan demi pengorbanan yang kami lakukan untuk melihat kebahagian dan kegembiraan Qarissa. Alhamdulillah, segalanya menjadi mudah ..bila hati sudah CINTA...

Anakku Qarissa, Mummy tidak mengharapkan sebarang balasan dari PENGORBANAN yang telah Mummy lakukan ini sayang...Mummy percaya takdir Tuhan telah meletakkan Mummy di tempat Mummy sekarang. Mummy redha dengan segalanya..malah Mummy gembira melihat Q besar di depan mata Mummy, tiada apa yang Mummy harapkan dari Q, bukan wang ringgit jauh sekali harta berjuta, cuma Mummy harapkan kebahagiaan Q dunia & akhirat, jadilah anak yang berguna & berjasa kepada kedua orang tua. Syurga di bawah tapak kaki Ibu sayang. Jangan ketepikan nasihat Mummy & Daddy. Mummy mahukan yang TERBAIK untuk anak yang Mummy kandung 10 bulan 2 hari ini.. Q penyambung kasih sayang Mummy & Daddy, semoga Allah SWT sentiasa melindungi anak Mummy walau sejauh mana Q "terbang". Entah kenapa, walaupun Q baru berusia 10 bulan, Mummy begitu takut menghadapi hari Q akan meninggalkan Mummy & Daddy bila besar nanti. Cuma satu nasihat Mummy, jangan lupakan kami bila Q sudah berjaya, dan doakan kami bila kami sudah tiada nanti..kasih sayang Mummy & Daddy terhadap Q membawa ke liang lahad..abadi selamanya...

Mummy percaya, bila Q ada keluarga sendiri nanti, inilah juga perasaan yang akan Q alami. Di masa itu nanti, ingatlah bahawa Q juga mempunyai seorang ibu yang pernah merasakan apa yang Q rasa ... dan sesungguhnya anakku..itulah ertinya SEBUAH CINTA & PENGORBANAN....

4 comments:

Anonymous said...

watie, insyaAllah ni pilihan terbaik utk ko sekeluarga. x semestinya x bekerja tu x bagus, tu bergantung kepada situasi seseorang jugak. lagipun Alhamdulillah dengan rezeki yang Allah kasi kat ko selama ni. masing2 mmg ade pandangan masing2 tapi menjadi ibu dan professional housewife juga kerjaya yang hebat.

Q, auntie doakan Q menjadi anak yang solehah, taat perintah Allah dan sentiasa berbuat baik pada mummy dan daddy serta semua orang. nanti kalau Q dah boleh baca entry mummy ni, Q selami setiap patah perkataan yg mummy Q tulis. pasti Q dapat selami suara hati mummy Q. Baca dengan mata hati dan ianya akan meresap ke dalam jiwa Q. jangan nakal2 tau, sayang....

Anonymous said...

eh, lupa nak letak nama tukang komen....

cam biasa, naimah ler....hehehe

Watie Aziz said...

Hhehehe..Tq Very much Naimah..really appreciate it..:)

nanti Q dah pandai baca aku suh dia baca komen hang yer..:)

Anonymous said...

welcome....:)

okeh, bereh...nnt kenalkan Q pada aku skali...hehehe

note: wah, banyak giler entry terbaru ko, skrg aku xsmpat baca lagi, kene samb kemas umah dulu coz kelmarin buat makan2 utk geng2 opis hubby aku. x sabor nak baca entry ko ni....hihi

naimah

We're Meant To Be Together..

My Baby Can Read!

early reading