Saya hanya mengikut perjalanan masa dan berharap sesuatu yg baik akan berlaku apabila anak saya lahir kelak. Saya harap air susu saya akan keluar mencurah-curah sebaik sahaja anak saya dilahirkan. Saya juga berharap aset saya akan kekal cantik, tegang & mengkal walaupun saya menyusu badan sepenuhnya selama 2 tahun (walaupun saya tahu itu hampir mustahil, apa salahnya memikirkan yang indah-indah sekali sekala kan?)
Apabila Qarisssa lahir ke dunia, serta merta perasaan kasih ibu kepada anak muncul dengan membuak-buak di dalam hati saya. Bersyukur juga saya melahirkan Qarissa di hospital Putrajaya (yang mana kalau anak anda melalak sekuat mana pun,susu ibu tetap menjadi pilihan nurse & doktor di sana) , saya terus memberi susu badan kepada Qarissa selepas beberapa jam dilahirkan. Sungguh saya katakan, saya amat bersyukur kepada Allah SWT kerana mengurniakan anak yg cukup baik untuk saya. Saya betul-betul tidak tahu sama ada anak saya kenyang atau tidak, dapat cukup susu atau tidak kerana saya sememangnya tidak dapat melihat ataupun merasa air susu saya keluar! Apa yg saya lihat, Qarissa begitu leka menghisap puting saya tanpa sedikitpun menangis!! Apabila dia merasakan susu di sebelah kanan telah habis, dia akan merengek, dan saya pun menukarkan ke sebelah kiri, begitulah seterusnya sehinggakan tahu tahu sahaja sudah 4 jam saya memberi susu badan saya kepada Qarissa tanpa henti! (Wahh...hebat betul saya ni, tak sangka betul saya boleh buat marathon selama itu!) Saya tinggal di hospital selama 2 hari 1 malam dan selama itulah Qarissa berada di sisi saya. Mudah untuk saya mengendalikannya & memberi susu badan saya kepadanya.
Selepas saya pulang ke rumah & berurut, barulah air susu saya keluar mencurah-curah seperti air terjun sampaikan saya terpaksa di tahan di hospital kerana bengkak susu. Walaupun ditahan, saya tetap membawa Qarissa ke hospital kerana masih ingin memberikan susu badan kepadanya. Saya tidak berkesempatan melihat "kolostrum" yang di hebahkan seantero dunia sungguh hebat khasiatnya...saya percaya Qarissa telah menyedut kesemuanya tanpa meninggalkan sedikit pun untuk saya lihat!!
Selepas memberikan susu badan selama 1 bulan, saya masih tidak merasakan yang menyusu badan itu sesuatu yang menyusahkan malah saya rasakan ikatan saya dengan Qarissa lebih kukuh & erat. Setiap kali dia menyusu, saya akan membelai muka, rambut dan badannya menggunakan tangan saya (tangan yang sebelah lagi mengendongnya) & saya rasa itu pengalaman yg sangat hebat! (Saya tidak pasti bagaimana ibu yg memberikan susu botol membelai anak mereka ketika saat menyusu, saya tidak pernah mencubanya setakat ini).
Mungkin juga saya tidak lagi bekerja & menjadi "suri rumah profesional" (tak mau kalah tuh..heheheh) ketika mengandungkan Qarissa 4 bulan, menyebabkan saya tidak cuba bersungguh-sungguh untuk memberikannya botol susu. Saya ada cuba memberikannya botol dengan susu formula (sekali dua) tetapi Qarissa menolak semua susu yang diberikan kepadanya! Susu badan dalam botol pun dia tidak mahu! (Demand sungguh baby comel nih!) Bukan setakat susu, puting juga di "reject" oleh anak saya ini! Dari puting yang paling mahal sampailah yg paling murah, semua ditolaknya (sudahnya puting yang ada hanya menjadi tempat Qarissa melepaskan geramnya ketika gusinya gatal, habis dia gigit dan tarik semua puting itu!)
Selepas kegagalan itu, saya malas mencuba lagi. Saya harus mengakui takdir Tuhan yang saya di amanahkan untuk memberikan susu badan selagi mana yang saya mampu. Jadi dengan bangganya saya menerima amanah itu. Alhamdulillah, Tuhan sebenarnya tahu niat saya yang memang ingin memberi susu badan sejak dari mula lagi dan Dia telah memudahkan segala-galanya untuk saya. (Terlalu mudah sehingga saya rasa takut jika Qarissa telah putus susu satu hari nanti, dan dia menangis tengah-tengah malam, apa perlu saya buat? Oh Tuhan! Risau betul saya memikirkannya!) Kalau sekarang, hidup saya sangat mudah, hidup Qarissa juga seperti di syurga! Setiap kali dia merengek di waktu malam, sambil tidur pun saya boleh menyuakan puting saya padanya dan dia akan kembali lena. Bukan kami sahaja rasa senang, suami saya lagi lah ...jadi Raja tau! Segala pengalaman "ngeri" rakan-rakannya yang lain seperti bangun malam, tidak cukup tidur, anak merengek & mengamuk sedikit pun tidak dirasainya. Kawan-kawan suami saya semuanya memberikan amaran kepadanya,"Siaplah kau, tak cukup tidur bila ada baby kecil tau!". Hmmm...yer lah tuh ..bapaknya yang tidur mengalahkan baby!
Tetapi, saya seronok & bangga kerana sekurang-kurangnya saya membantu suami saya tidur lena & dia tidak akan mengantuk apabila tiba waktu kerja. (Bertuahnya dia kahwin dengan saya kan! )
Apa yang boleh saya katakan, sekiranya anda bertekad ingin melakukan sesuatu, pasti Tuhan akan membantu anda & memudahkan segala-galanya. Niat saya cuma satu: Saya ingin menjaga amanah Allah sebaik mungkin dan dengan memberikan susu badan saya, itu adalah salah satu tanda saya bersyukur dengan kurniaanNya ini.
Sehingga hari ini, Qarissa telah menyusu badan sepenuhnya untuk tempoh 9 bulan ++ ( lagi 5 hari genap 10 bulan) . Cuma susu badan & air putih. Selama 9 bulan ini juga lah saya telah melihat keajaiban yang Tuhan berikan melalui susu badan ini. (Insya Allah saya akan masukkan pengalaman keajaiban ini dalam entry akan datang). Saya tidak pasti sehingga bila saya akan bertahan, tetapi saya akan cuba sedaya upaya saya untuk mendapatkan PHD (dalam kategori menyusu) untuk anak saya ini. Semoga Allah memudahkan urusan saya ini. Amin..
Kepada ibu-ibu dan bakal ibu di luar sana, janganlah anda ragu-ragu @ takut-takut untuk membuat keputusan dalam hal susu menyusu ini. Saya berikan sedikit tips untuk anda ikuti dan amalkan, Insya Allah berjaya.
Tips Menyusu Badan:
- Simpan tekad di dalam hati dari mula anda mengandung lagi yang anda ingin memberikan air susu dari payudara anda sendiri kepada bayi yg anda lahirkan.
- Sebut tiap-tiap hari sebelum keluar bekerja: "Susu manusia untuk manusia, susu lembu untuk lembu". (Jangan gelak yer, amalkan setiap hari sekurang-kurangnya 2 kali sehari selama 9 bulan, saya pasti di akhir 9 bulan tersebut, otak anda akan menolak susu lembu sepenuhnya!
- Baca kebaikan susu ibu berkali-kali setiap kali anda ke hospital atau pun setiap kali anda rasa "down" ketika menyusu. Itu yang saya lakukan sehingga hari ini.
- Anda harus rasa bangga setiap kali bertemu orang ramai & kalau boleh, biar mereka tahu anda menyusu badan sepenuhnya! Perasaan bangga ini akan membuatkan anda lebih bersemangat untuk berlumba-lumba menyusu badan.
- Jika ada rakan-rakan anda yg turut sama menjadi ibu, mungkin anda boleh membuat pertandingan sesama sendiri- "Sapa lebih lama memberi susu badan".
- Setiap kali ada perkara baik berlaku dalam hidup anda dan anak disebabkan susu badan ini, maka ucapkan syukur dan bergembiralaah kerana anda telah membuat keputusan yang betul.
- Yakin sesungguh hati yang anak anda akan jadi lebih bijak dari anak orang lain jika anda memberikan susu badan anda! (Bukan untuk anda riak yer, tetapi lebih kepada usaha untuk memotivasikan diri anda supaya tidak mengalah!)
- Fikirkan begini: Susu badan untuk tempoh 6 bulan: DIPLOMA, susu badan untuk tempoh 12 bulan: IJAZAH, susu badan untuk tempoh 1 tahun 6 bulan: MASTER, susu badan untuk tempoh 2 tahun: PHD! Seronok kan? ( Sapa yang tidak ingin anaknya mendapat PHD?? Doktor Qarissa...mmm..lebih sedap bunyinya berbanding Qarissa sahaja kan??)
4 comments:
salam watie,
seronok aku baca n3 nie. baby aku pn xmo minum susu badan yg aku taruk dalam botol. Ahamdulillah, susu badan aku pn bnyak.
tahniah n thx utk ko ats perkongsian ilmu n pengalaman. mmg amt menarik n berguna.
naimah
Hi Naimah,
You're most welcome! Aku pun harap dengan apa yang aku tulis ini, dapatlah sikit sebanyak membantu ibu-ibu di luar sana yang mana "down" bila menyusu badan..suka-suka share pengalaman..:)
baguslah ur baby susu badan sepenuhnya. mesti tulang dia kuat nanti tau. Aku takder pun amalkan petua nak banyakkan susu, tapi syukur, susu selalu ada. Maybe Q selalu menyusu, jadi tak payah pakai petua kot! .hehehee
good job watie!! keep it up!
Chern,
Thanks Dear..:) will keep it up until 2 years hopefully..!
Post a Comment