Monday, May 11, 2009
Mother's Day 09 - Nukilan Buat Arwah Mama
Mama,
Hari ini, 10 Mei 2009, genap 3 bulan 5 hari Mama meninggalkan kami semua. Pergi yang takkan kembali lagi. Apa khabar Mama di sana? Lain sungguh rasanya sambutan Hari Ibu tahun ini tanpa Mama di sisi. Buat pertama kalinya dalam hidup kami, Mama tiada di sisi untuk sama-sama meraikan hari yang bermakna ini. Lebih-lebih lagi tahun ini merupakan tahun pertama Watie menyambutnya sebagai seorang Ibu dan Mama sebagai Oni. Sayu rasa hati kerana kita berdua tak dapat meraikannya bersama tahun ini. Watie masih ingat, kita menyambut Hari Ibu dengan gembira tahun lepas kan? Mama tersenyum gembira mendapat kad berbentuk plak seperti satu anugerah dari Bang Chaq & Watie beserta hadiah. Sesungguhnya Mama, kami amat merindui saat-saat itu dan sering merasakan Mama ada di sisi kami.
Hingga kini Mama, Watie masih merasakan kesayuan setiap kali terkenangkan Mama. Bilik yang kami ubahsuai semata-mata untuk Mama itu juga tidak Watie tukar cadarnya hampir 2 bulan. Hanya kerana Watie inginkan "bau" Mama kekal di sana. Banyak yang tidak berubah di dalam bilik itu Ma...Ubat Mama, Gambar Mama, Baju Mama, Telekung Mama..semuanya masih ada di sana. Bila Watie sendirian melayan Qarissa, secara tiba-tiba Watie akan terkenangkan Mama dan kesedihan pasti menyapa. Tidak puas rasanya Watie menjaga Mama ketika sakit dulu. Rasanya masih belum cukup bakti yang Watie taburkan selaku satu-satunya menantu perempuan Mama. Masih terbayang-bayang gelak tawa kita bersama ketika Mama menemani Watie ketika dalam pantang dahulu. Sambil Mama menulis skrip, kita akan berborak dari pagi sehinggalah tengah hari. Macam-macam cerita yang kita bualkan kan Ma.. cerita pasal kampung, pasal pengalaman hidup Mama, cerita pasal abah, cerita pasal Bang Chaq pun ada! Kita tergelak-gelak dan selepas penat berborak, kita turun dan makan tengah hari. Kemudian, menonton TV bersama-sama....
Tidak puas rasanya bermanja dengan Mama. Tempoh 3 tahun lebih menjadi menantu Mama ketika Mama masih ada merupakan pengalaman yang amat menyeronokkan. Kita satu keluarga semuanya satu kepala dan boleh bergurau senda tanpa batasan. Tidak ada istilah "Mertua VS Menantu" dalam diari hidup Watie sepanjang Watie berkahwin dengan Bang Chaq. Sukar juga untuk Watie mencari "kecacatan" dalam perhubungan mertua & menantu antara Watie & Mama kerana ia memang TIADA!. Watie sedih Ma, ianya tidak lama. Banyak cerita-cerita yang tidak enak yang Watie baca dari internet, majalah mahupun drama tentang hubungan mertua & menantu yang tidak menyeronokkan tetapi, ia langsung TIDAK BERLAKU dalam kehidupan Watie. Alhamdulillah, Watie dikurniakan ibu mertua yang bukan sahaja cantik, malah sangat baik, bersifat mengasihi & menyayangi pada menantu. Sayangnya Ma, ia tidak lama dan Mama dijemput pulang. Sukar untuk Watie menerima hakikat ketentuan Tuhan ini Ma.. terus terang Watie katakan, Watie redha dalam terpaksa menerima ketentuan ini. Terlalu cepat Mama dijemput Tuhan sehinggakan kami sekeluarga tidak langsung bersedia menerima berita ini. Kuat betul dugaan Tuhan Ma...
Jika Mama masih ada, tentu Hari Ibu ini akan kita sambut dengan meriah kan...Keseronokan berkumpul antara keluarga Mama & Cik, dikelilingi anak buah yang ramai, gelak ketawa sesama ahli keluarga pasti akan berulang lagi. Lebih-lebih lagi Watie juga dah masuk kategori Ibu. Apakan daya kami Ma, Allah SWT lebih menyayangi Mama...Jikalau masa boleh di putar kembali, ingin rasanya kami menghabiskan seluruh masa yang kami ada hanya untuk membuatkan Mama lebih gembira...
Mama, Watie tahu Mama tidak akan dapat membaca luahan hati Watie ini. Tapi Watie tidak peduli, Watie tetap ingin memberitahu Mama yang Watie sayangkan Mama, rindukan Mama dan ingin sekali menghabiskan masa bersama Mama seperti dulu. Maafkan Watie Ma, jika selama Watie menjadi menantu Mama ini, Watie ada mengecilkan hati Mama, membuatkan Mama terasa hati atau bersikap kurang sopan terhadap Mama. Maafkan Watie...
Ketahuilah Mama, anak lelaki tunggal Mama itu sangat merindui Mama, hingga kadang-kadang meleleh air matanya dan kami menangis bersama, terutamanya ketika Mama baru dijemput pulang. Watie faham apa yang Bang Chaq rasa Ma, kalau Mama hidup lagi, tentu Mama juga faham gelora rasa di hati Bang Chaq, pasti Mama mengerti apa yang anak Mama ini rasakan..Kita sama-sama rasa ..kerna kita tahu cerita sebenarnya ..Percayalah Ma...Bang Chaq sangat sayangkan Mama..mesti Mama tahu yang Bang Chaq sering melawat Mama di kuburan setiap Jumaat kan? Dia rindukan Mama...
Kami berdoa agar roh Mama dicucuri rahmat Allah SWT. Semoga Allah meletakkan Mama di kalangan orang-orang yang dikasihinya. Kami di sini sentiasa mendoakan Mama. Ketahuilah Mama, setiap kali Watie teringatkan Mama, pasti akan Watie sedekahkan ayat suci AlQuran untuk Mama .. Walaupun Mama tiada lagi ..Watie ingin sekali ucapkan pada Mama ..
Selamat Hari Ibu Ma ... We love u forever ..abadi selamanya ..
Salam Rindu di Hari Ibu,
Watie, Bang Chaq & Qarissa
10 Mei 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment