Thursday, February 17, 2011

GBOB On Media: Bayi Genius @ Harian Metro

Alhamdulillah, cerita tentang Genius Baby On Board telah pun disiarkan di Harian Metro semalam. Pagi-pagi lagi  saya dah dapat SMS dari Kak Faiz bgtau yang beliau dah pun membeli paper tersebut dan excited dgn cerita GBOB. Wahhhhh... saya pun dengan segeranya bangkit dari katil, amik kunci kereta dan terus menuju ke kedai tepi jalan kat area rumah untuk borong paper Harian Metro edisi Rabu. Hehehe.. Ane tuh mesti pelik, sampai 4 keping saya borong. Hahahaha... 
Tak sompek-sompek nak balik rumah, saya parking tepi jalan jap, sambil membelek paper. Mula-mula nampak gambar Dynas dalam edisi sisipan Rap, dalam hati, kurusnya Dynas nih ..jeles mak noksss!  Sekali tuh bila saya bukak page-page seterusnya, terkejut beruk saya! Mak aiii.... besarnya muka aku!!! Adoiii.. tajuk tak tahannnnn... - Bayi Genius.. Wowww... segannya! Then, saya dengan segeranya buka ms 8. Baca tajuk dia - "Satu kad, satu saat, tiga ",  then me was like .."Aik... kenapa ayat dia tak habis erk???" Saya belek lagi pastu tarik terus keratan lain yang ada.  Pastu barulah nampak "kali sehari" punya ayat tu. Lorrr... 2 muka surat penuh ker??? Campur muka depan dah 3 pages ker citer pasal GBOB nih? Perghhhh! Serius saya terkejut sungguh! Tak sangka citer pasal saya dan anak-anak sampai 3 muka surat bewarna. Terharu sungguh saya rasa. Di kesempatan, saya nak ucap sekali lagi terima kasih pada Kak Siti yang sudi temuramah saya dan kak Anis yang sudi ambil gambar saya anak beranak on that day. Saya betul-betul menghargainya. :)

GEMBIRA...Norhidawati merangsang anak-anaknya menerusi kad imbasan yang diberi tiga kali sehari.
GEMBIRA...Norhidawati merangsang anak-anaknya menerusi kad imbasan yang diberi tiga kali sehari.

Memang semalam hari yang sungguh sibuk buat saya. Sampai 4-5 kali phone saya "hang" dan kena reset semula. Dgn SMS, panggilan dan notification emel serta FB yg masuk, memang pening ah kot memori phone tu ..Habis saya kena sakat ngan kengkawan kat FB... Sabar jer lah .. nak jadi maid tolong bawak air lah, nak eksen lap almari buku kat belakang saya (dlm gambar tuh lah ..) nak masuk manik tudung pun jadi lah ..., memang lawak giler kengkawan skolah dan uni saya tuh .. tuh belum lagi dorang komen cakap, "akak wartawan nih aku rasa ada salah tulis la, patutnya dia tulis, Menurut Norhidawati yang lebih mesra di panggil SEXYWATIE .." ...hahahaha....kong ajau!!!! Tu semua gara-gara masa kat uni dulu lah tuh, time ngah baru2 belajar create emel, kemain semangat guna nama sexywatie lah, babywatie lah..prettywatielah .. ntah hapa2 lah lagi nama2 "budak baru nak naik" nih kan! hhahahha... Yerlah, dulu sexy, skang seksa! Dulu baby, skang dah ada baby! Dulu pretty ..skang .. errkk... pretty lagi kot?  Wakakakaka....Memang lawak bila ingat zaman sekolah ngan zaman uni dulu kan? The best memories  yang ada dalam kamus hidup saya. How fast time flies.. more than 12 years dah pun ia berlalu ..:(
Foto
MENONTON CAKERA PADAT...masa dua beradik ini banyak dihabiskan di hadapan televisyen dengan bantuan ibu mereka.

Saya membaca coretan Kak Siti dengan senyuman yang melebar di muka. Sungguh saya macam tak percaya, itu cerita saya dan anak-anak. Tak pernah saya fikir pun, satu hari nanti cerita saya jadi bahan tatapan rakyat Malaysia khasnya. Saya masih ingat  ramai kawan sekolah, kawan uni dan kawan blog bgtau kat saya, masa tuh saya bangga sangat sebab Along saya featured in Metro Ahad, di sisipan Karisma on Mac 2010. Habislah saya gebang satu FB, suruh kengkawan beli, siap saya scan lagi keratan tuh dan masuk dalam FB, buat cerita dalam blog, semualah kawan2 saya tumpang happy dan bangga, ramai yang kata lepas ni turn saya pulak, semua konfiden jer, siap cakap, percayalah Watie ..aku yakin pasni ko pulak kuar paper! Saya gelak besar time tuh, saya aminkan jer, padahal saya tak nampak pun "celah bedah" mana saya nak kuar paper nih! Saya buat bisnes perfume @ home, sibuk ngan anak-anak & I'm happy the way I am. So takder langsung fikir-fikir featured dalam paper nih. Masa tuh mana ada GBOB lagi. Takder Center pun, tapi kuasa Allah SWT kan, siapa sangka, tak sampai setahun Along saya masuk paper, giliran saya dan anak-anak pula masuk paper. Berbeza ruangan dan hari jer. :) Cantik sungguh aturan Allah SWT kan ... Kak Siti pun kata perkara yang sama, bila saya ceritakan perjalanan hidup saya, dari kerja, sampai ada Qarissa, pastu kenal ngan Mommy2 hebat macam Lyna dan Jiey, pastu saya pula dapat anak ajaib si Zayra tu (wahhhh..sedap pulak guna perkataan AJAIB lepas saya kata tangan Zayra tangan AJAIB kat FB smalam .. meh kita tukar the word istimewa ke ajaib pulak jom! hahahah), memang macam diatur-atur dengan cantik jer cerita hidup saya ni ..:) Semuanya kehendak Allah kan ..?:)


Yang paling saya suka dalam artikel kat Harian Metro, adalah cara pengolahan tentang Quzayra's condition. Walaupun ada sedikit typing error, di mana, apa yang berlaku pada Zayra bukanlah satu penyakit, ianya adalah satu keadaan atau senang citer "accident dalam perut" lah .. eekekke.. yang berlaku 1 daripada 32,000 kelahiran, yang mana doktor pun tidak tahu bagaimana tulang tangan tersebut tidak tumbuh sepenuhnya masa Zayra di dalam rahim saya. Sampai lahir pun Doktor tak dapat detect yang tulang tangan Zayra tidak tumbuh sepenuhnya. Memang di Malaysia sangat jarang perkara ni berlaku, selalunya berlaku pada mereka yang berada di luar negara. Kira Zayra ni wakil Malaysia lah! Haruslah kita berbangga kerana kita ada wakil negara yer! Ahaks! Nama condition yang di alami Zayra ini adalah Symbrachydactyly. Dan uniknya tgn Zayra sebab dia masih ada jari dan ruas-ruas. Selalunya kalau condition macam nih, samada jari tuh akan berbentuk nubbins (daging terlebih, nak jadi jari tak jadi) atau takder langsung. Tapi Zayra punya tangan nih siap boleh nampak tinggi rendah jarinya tuh mengikut jari kita yang normal ni, cuma dia pendek sebab takder tulang. :)  


Kenapa saya suka pengolahan cerita Zayra? Sebab ia dilakukan tanpa ada unsur-unsur sedih, sayu atau meminta simpati masyarakat. Ia tidak "dihighlightkan" menjadi satu tajuk besar. Apabila membaca cerita saya dari awal, tiada siapa sangka Quzayra adalah anak istimewa kan? Hanya di akhir artikel, barulah diceritakan tentang kondisi tangan Zayra dan ianya juga diceritakan secara sempoi, seperti tiada apa-apa berlaku. Kerana itu saya suka. Kerana, selama ini, kita terlalu disogokkan dengan cerita-cerita sebegini. Asal cacat jer anak tuh, sedih, asal kurang upaya jer, muram, asal  tak cukup sifat jer, di katakan meminta simpati dan sebagainya. Saya tidak pasti samada ianya memang dari hati ibu bapa tersebut atau cara pengolahan penulis yang menunjukkan seolah-olah keluarga ini meminta simpati, tetapi pendapat peribadi saya - Tidak semua cerita kita adalah cerita yang menyedihkan. Banyak juga yang menyeronokkan. Dan saya percaya, semua ibu yang ada anak istimewa TIDAK MEMINTA SIMPATI MASYARAKAT. Betul tak? Apa yang kami mahukan adalah keadilan, dimana kami dan anak-anak dilayan selayaknya dan bukan dipandang seolah-olah beban, menyusahkan orang lain dan ada diskriminasi antara golongan OKU dan bukan. Sebab itulah, saya tidak kisah langsung jika cerita anak saya jadi paparan, kerana jika boleh saya ingin mengubah stigma tersebut. Biar kami menentang arus, bercerita tentang anak kami yang sememangnya istimewa, apa yang mampu mereka lakukan, yang mungkin tidak semua kanak-kanak normal mampu lakukan dalam usia mereka. Dan kalau apa yang berlaku pada Zayra boleh memotivasikan ibu bapa ini, tidak kira ada anak istimewa atau tidak, saya dengan gembira akan menghebahkannya pada dunia. Jujur saya katakan, akan terbit perasaan bangga setiap kali saya memberitahu setiap orang yang saya jumpa tentang Zayra, tentang apa yang berlaku padanya. Saya bangga apabila memberitahu orang yang anak saya anak istimewa. It's all in our mind kan? Kalau kita bangga, kita takkan rasa malu, kalau dah setiap hari perkataan tersebut (anak aku anak istimewa, aku bangga dgn anak aku dan nak satu dunia tau pasal dia), perkara tuh akan jadi mainan di bibir kita seterusnya kita akan bertindak mengikut apa yang kita fikir dan cakapkan. Sebab tuh mudah betul mulut saya memberitahu orang yang saya jumpa yang anak saya special in a way yg dia takder tulang pada tangan kanannya. Dah terbiasa, orang tak tanya pun kepoh gak nak bgtau! Wakakakakka! Sorry lah yer .. saya mmg kepohci! hahahaha...

Foto
BIJAK...Qarissa bersama adiknya Quzayra tekun membaca kad imbasan.

Akhir kata di entry ini, saya ingin rakamkan penghargaan pada semua pembaca Harian Metro yang membaca artikel berkenaan Bayi Genius semalam, dan terus menghubungi saya, menghantar emel, menghantar SMS, menyertai komuniti GBOB dan memberi komen di FB, add saya di FB dan macam-macam lagi. Terima kasih saya ucapkan. Saya sangat terharu dan dalam masa yg sama, takut juga. Saya tahu harapan orang pada saya tinggi sekarang. Siap ada yg suruh saya bukak cawangan kat JB tuh, malah negeri2 kat Malaysia! Aduhhh ..besarnya harapan semua. Insya Allah, saya akan cuba yang terbaik. Saya tidak perfect, saya bukan doktor atau pakar kanak-kanak, saya adalah ibu kepada 2 Q's :) dan ibu juga kepada anak-anak yang datang Playgroup saya setiap minggu, saya belajar banyak perkara dari ibu bapa yang datang dan belajar dari kanak-kanak ini sendiri. Insya Allah, saya akan cuba melayani pertanayaan dan soalan para ibu bapa yang ada. Serius pening! Hehhee.. banyak soalan sampai tak terjawab saya dibuatnya. Hehhee.. Sepanjang tulis entry ni pun, 5-6 kali phone saya berdering-dering, bertali arus sampai tak sempat saya nak jawab pun ada. lepas satu call, satu call. :) Happy saya sebab banyak  parents dah alert pasal ECE nih ..:)

Sesiapa yang masih belum membaca cerita GBOB di harian metro semalam, saya sertakan linknya di bawah :


dan 


Dan sebagai kenangan-kenangan, (tak lama lagi hilanglah info nih kat online paper ni kan), saya attachkan artikel tersebut di blog ini ..:) Ada sedikit typing error dari segi ejaan dan otak kiri (sepatutnya otak kanan) yang ditulis, jadi saya betulkan siap2 di bawah ini yer :)

**********************************************************

PADA usia 17 bulan, kanak-kanak ini sudah boleh membaca dan menyebut perkataan dengan lancar. Malah, lebih menakjubkan apabila dia mula mengenal huruf pada kad imbasan menjelang usia enam bulan. Satu pencapaian yang amat membanggakan bagi kanak-kanak seusianya.

Malah, ketika berkunjung ke Genius Baby On Board yang terletak di Puchong, Selangor, Rania Qarissa Rizal Saiful Rizal, 3, sama seperti kanak-kanak lain, namun kesukaan pada bahan bacaan amat terserlah apabila sepanjang masa dia memegang buku, kad imbasan atau berdamping dengan komputer peribadi. Kini, dia juga mula mendalami bahasa Arab dan Cina hanya berpandu kepada cakera padat di bawah pengawasan ibunya, Norhidawati Abdul Aziz, 30.

Menurut Norhidawati atau mesra dipanggil Watie, apa yang berlaku kepada Qarissa bukanlah sesuatu yang mustahil. Ini kerana semua bayi dan kanak-kanak adalah bijak dan mereka mampu melakukan apa saja sekiranya mendapat rangsangan yang betul daripada ibu bapa. 


Apa yang penting, ibu bapa harus mendapatkan ilmu terlebih dulu mengenai kepentingan memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak sejak dilahirkan dan sehingga pembesaran mereka.



Ibu kepada dua cahaya mata comel ini memberitahu, keterujaannya untuk melihat anaknya membaca pada usia awal kerana rasa tercabar apabila menonton video kanak-kanak di luar negara yang mampu membaca pada usia enam bulan. Sejak itu, dia sanggup melakukan apa saja demi melihat anaknya mampu membaca pada awal usia.
“Perkara pertama dilakukan ialah dengan membeli kad imbasan lalu menunjukkan pada Qarissa menggunakan teknik satu kad satu saat sebanyak tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, petang dan malam. Sepanjang melakukan aktiviti itu, Qarissa tidak menunjukkan sebarang perubahan, namun saya tetap meneruskannya dan tidak berputus asa.

“Menjelang hari keempat, Qarissa mula menangis kerana ingin memegang kad, namun saya tidak membenarkannya dan tetap menunjukkan kepadanya,” ujarnya yang mengakui apabila anak mula menyukainya, itulah masa sesuai untuk membentuk minat membaca kepada anak-anak.

Kesukaran mencari produk sesuai untuk bayi terutama dalam konteks pengajaran di Malaysia, memberi cabaran kepada Watie, namun dia bernasib baik kerana pada usia Qarissa 11 bulan, dia terjumpa laman sesawang Little Reader ketika sedang melayari Internet lantas dia menggunakan peluang yang ada untuk mengajar Qarissa dengan berpandukan kepada laman sesawang itu.

“Menariknya, proses pembelajaran menerusi Little Reader tidak membosankan dan menyeronokkan kerana semua aktiviti dilakukan menerusi gambar dan muzik serta kaedah bermain. Jadi anak-anak tidak berasa tertekan kerana pengajaran dilakukan seperti mana bermain.

“Lebih penting anak anda mampu membaca dalam tempoh yang singkat. Namun, semuanya terpulang kepada ibu bapa bagaimana mereka berkeinginan membentuk anak mereka,” katanya.

Sepanjang tempoh itu Watie mengajar anaknya tanpa jemu, walaupun ada masanya Qarissa tidak menunjukkan minat dan membiarkan saja. Namun, Watie tidak berputus asa kerana dia percaya bagi mendapat hasilnya bukanlah dalam tempoh singkat walaupun perlu mengajar sehingga 100 atau 1,000 kali sekalipun dia yakin Qarissa akan menunjukkan perubahannya.

Memang benar ada kalanya apabila rasa tidak yakin, Qarissa terus saja menunjukkan perubahan positif sehingga pada suatu hari Qarissa boleh membaca dengan lancar setiap baris ayat dan inilah saat paling menggembirakan bagi Watie. Baginya, kebolehan ditunjukkan anaknya itu membuktikan semua bayi adalah genius.

“Saya selalu tidak yakin dengan kemampuan Qarissa, tetapi apabila dia menunjukkan perubahan di luar jangkaan menyebabkan saya percaya ibu bapa harus menanam rasa percaya dengan kebolehan anak-anak. Jangan berprasangka anak tidak bijak dan tidak boleh melakukannya,” katanya.

Dia sering merangsang otak kanan anaknya dengan perasaan kasih sayang manakala pada waktu malam menggunakan teknik sheseida iaitu bercakap dengan anak ketika anak sedang tidur bagi merangsang otak kanan mereka.

Selepas kelahiran anak pertama Rania Qarissa, Watie terus berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada anaknya, malah dia tidak menunggu masa yang lama untuk merangsang otak Quzayra, anakknya yang kedua.

Pada usia lima bulan, dia terus menggunakan cara yang sama seperti mana diberikan kepada Qarissa dan semakin percaya yang semua bayi adalah bijak. Quzayra dilahirkan tanpa tulang pada tangan kanan bermula daripada pergelangan sehingga jari dan hanya daging semata-mata yang membentuk tangan dan jari.

Walaupun mempunyai ruas, jarinya tidak dapat dibuka, ditutup mahupun digerakkan seperti kebiasaannya. Istimewanya juga kerana tangan itu boleh dilentur ke mana saja tanpa rasa sakit.

Menurut Watie, kelahiran Quzayra cuma satu antara 32,000 kelahiran dan sebagai kanak-kanak istimewa berpenyakit symbrachydactyly, dia mahu membuktikan Quzayra mampu seperti mana kanak-kanak lain.

“Saya dapat rasakan yang sesungguhnya kelahiran Quzayra adalah untuk membuka mata saya dan suami terhadap keagungan ciptaan Allah dan menyebarkan setiap inci maklumat menerusi penglihatan, perasaan dan proses menerusi deria mata dan otak, seterusnya berkongsi dengan masyarakat melalui penulisan di alam maya.

“Ini bertujuan supaya masyarakat sedar betapa Allah SWT menciptakan setiap makhluknya itu sempurna dan kesempurnaan itu terlalu subjektif, terpulang kepada kita sendiri untuk melihatnya dalam bentuk yang berbeza,” ujarnya.

Kini, Quzayra yang dilahirkan pada 7 April 2010 mengagumkan ibunya dengan kebijaksanaannya. Quzayra memanipulasikan kekurangan dirinya dengan begitu baik sehingga tidak nampak kekurangannya.

Contohnya, walaupun memiliki tapak tangan kanan kecil dan lembut, dia bertepuk tangan menggunakan pergelangan tangan yang bertulang dan bukannya tapak tangan. Ini kerana sekiranya bertepuk tapak menggunakan tangan pasti tidak akan berbunyi berbanding lengan bertulang.

“Sebagai ibu saya berharap apa yang berlaku kepada Quzayra akan memberikan motivasi kepada ibu bapa yang memiliki anak istimewa supaya percaya dengan kebolehan anak-anak bagaimana sekalipun keadaan mereka.

“Tanamkan dalam diri yang anak kita boleh, bijak dan pandai, malah anak kita genius untuk melakukan apa yang kita tidak sangka dan dia boleh melakukannya.

“Tanamkan dalam minda yang kita teruja untuk melihat setiap inci perkembangan terbaru anak dan yakin mereka akan menunjukkan kehebatan mereka,” katanya.

Tambah Watie, apabila ibu bapa berada dalam minda positif, aura positif akan terpancar dan sentiasa mengelilingi diri mereka setiap masa. Ini sangat baik untuk perkembangan mental atau fizikal anak.

*******************************************************************************

KETIKA usia Quzayra sembilan bulan dan Qarissa mencecah dua tahun setengah, apa yang dilakukan Norhidawati dicatat dalam blog peribadinya.

Tanpa disangka penulisannya menjadi ikutan dan ikon kepada golongan ibu sehinggakan mereka meminta dia mengadakan bengkel mini mengenai pengalamannya mendidik Qarissa dan Quzayra. 
“Memang saya tidak yakin dengan kemampuan selama ini. Maklumlah untuk memberikan ilmu kepada ibu bapa, diri sendiri harus mempunyai ilmu pengetahuan yang meluas. 

“Sedikit demi sedikit daripada Quzayra saya membina keyakinan diri. Saya tambahkan ilmu keibubapaan menerusi pembacaan di Internet.

Menurut Norhidawati atau mesra dipanggil Watie, apa yang berlaku kepada Qarissa bukanlah sesuatu yang mustahil. Ini kerana semua bayi dan kanak-kanak adalah bijak dan mereka mampu melakukan apa saja sekiranya mendapat rangsangan yang betul daripada ibu bapa. 

Apa yang penting, ibu bapa harus mendapatkan ilmu terlebih dulu mengenai kepentingan memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak sejak dilahirkan dan sehingga pembesaran mereka.

Seminar mini yang pertama diadakan di Wisma Bling Lustre pada 17 Julai 2010 dengan kehadiran 22 peserta. Setelah mendapat maklum balas positif daripada ibu bapa serta pembaca blog, dia bertekad melakukan yang terbaik dengan membuka Genius Baby On Board pada Oktober 2010. 

Setakat ini, Genius Baby On Board sudah menjalankan beberapa seminar mengenai kepentingan rangsangan awal kepada anak-anak serta bengkel untuk kanak-kanak yang berbeza tema pada setiap minggu. 

Antara aktiviti ialah permainan, aktiviti fizikal, mengenal huruf dan seni bahasa merangkumi kraftangan bagi merangsang daya kreativiti mereka. 

Menurutnya, ramai ibu bapa kini kurang terdedah mengenai perkembangan awal kanak-kanak iaitu kepentingan memberikan rangsangan terutama pendengaran yang baik kepada anak mereka. 

Dalam erti kata lain, apa yang didengari oleh anak-anak sama ada melalui persekitaran, orang terdekat, kaca televisyen, cakera padat dan radio akan mempengaruhi perkembangan mereka. 

Justeru sebagai ibu bapa, sangat penting memastikan anak-anak mendengar sesuatu perkataan itu, tidak kira sama ada bahasa Melayu, Inggeris atau apa saja bahasa dengan sebutan dan pengucapan yang jelas. 

“Ini kerana bayi sangat bijak sehingga mereka boleh menyerap apa saja yang mereka dengar menggunakan deria pendengaran dan menyimpan maklumat itu di dalam otak sehingga tiba masa yang sesuai untuk mengucapkannya. 

“Bayangkan sekiranya anda ‘memberi makan’ kepada otak anak anda dengan perkataan yang tidak memberi sebarang makna atau pelat, bahasa pasar atau bahasa daerah, sedikit sebanyak ini akan tersimpan kemas di dalam otak genius mereka. 

“Justeru, pengalaman ini yang saya ingin kongsi dengan semua ibu bapa menerusi Genius Baby On Board supaya ibu bapa memulakan proses rangsangan kepada anak pada usia yang awal ketika dalam kandungan lagi,” katanya. 

Rangsangan boleh dilakukan di mana-mana saja tanpa mengira waktu dan tempat. Ini kerana proses pembelajaran tidak perlu dilakukan secara serius sebaliknya dilakukan seperti mana bermain supaya mereka tidak jemu atau tertekan ketika belajar, sekali gus menjadikan proses pembelajaran itu sesuatu yang menyeronokkan. 

Bagi pembaca yang ingin menyertai seminar atau kursus anjuran Genius Baby On Board, boleh melayari laman sesawang www.geniusbabyonboard.blogspot.com  atau Facebook www.facebook.com/geniusbabyonboard.


post signature
post signature

No comments:

We're Meant To Be Together..

My Baby Can Read!

early reading